BAGHDAD : Serangan ke atas Zon Hijau Baghdad tidak mematahkan usaha penggubal undang-undang Iraq untuk memilih Presiden baharu, yang kemudiannya melantik Perdana Menteri dengan harapan kemelut politik serta keganasan di negara yang dilanda perang itu dapat ditamatkan.
Abdel Latif Rashid, seorang pemimpin Iraq-Kurdish berusia 78 tahun, dipilih sebagai ketua negara, menggantikan Barham Saleh menerusi persidangan di ibu negara.
Abdel Rashid memenangi lebih 160 undi berbanding 99 undi oleh Barham.
Presiden baharu itu dengan segera turut menamakan ahli politik Syiah, Mohammed Shia al-Sudani sebagai perdana menteri dan menugaskan beliau untuk mendamaikan puak Syiah yang bertelagah dan membentuk kerajaan.
Mohammed, warga Sudan berusia 52 tahun itu yang mendapat sokongan puak pro-Iran turut berikrar membentuk kerajaan secepat mungkin namun beliau berdepan tugas sukar untuk memenangi hati penyokong pesaing, Moqtada Sadr.
Ketika nama Mohammed mula dicadangkan pada Julai lalu, ia mencetuskan bantahan besar-besaran oleh pengikut Sadr, yang melanggar Zon Hijau dan menyerbu Parlimen.
Beliau kini mempunyai 30 hari untuk membentuk kerajaan baharu yang mampu menguasai majoriti di Parlimen.
Semalam, sembilan roket Katyusha menghujani Zon Hijau ketika penggubal undang-undang menuju ke Parlimen. Seorang pegawai keselamatan memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 10 orang cedera, termasuk enam anggota pasukan keselamatan atau pengawal peribadi penggubal undang-undang, serta empat orang awam.
Duta Amerika Syarikat (AS), Alina Romanowski turut mengecam serangan itu di Twitter dengan mengatakan ‘rakyat Iraq mesti menyelesaikan perbezaan politik dan keluhan mereka melalui cara aman’.
“Serangan seperti ini melemahkan demokrasi dan memerangkap Iraq dalam kitaran keganasan yang berterusan,” katanya.
Institusi demokrasi yang dibina di negara kaya dengan minyak sejak pencerobohan AS pada 2003 yang menggulingkan diktator Saddam Hussein dilihat kekal rapuh memandangkan negara jiran, Iran mempunyai pengaruh besar.
Selama lebih setahun, Iraq hanya mempunyai kerajaan sementara untuk menangani pelbagai masalah yang mendesak, termasuk pengangguran, infrastruktur yang mereput, rasuah dan kesan perubahan iklim.
Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Iraq pada minggu ini turut memberi amaran bahawa ‘krisis yang berlarutan akan membiak lagi ketidakstabilan’ dan politik yang memecah-belahkan ‘menimbulkan kekecewaan orang ramai’.
Penggubal undang-undang turut membuat tiga percubaan sebelum ini untuk memilih ketua negara baharu, iaitu pada Februari dan Mac, tetapi gagal mencapai undian dua pertiga. – AFP