Tumpuan :
Dunia

AS tawar insentif kewangan kepada kakitangan awam yang berhenti, gaji dibayar sehingga September

White House. FOTO: Reuters

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan penawaran insentif kewangan kepada hampir semua kakitangan awam persekutuan yang meletak jawatan, sebahagian daripada langkah untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam Amerika Syarikat (AS) secara drastik.

Program ‘peletakan jawatan tertangguh’ ini membolehkan kakitangan persekutuan terus berada dalam senarai gaji sehingga 30 September tanpa perlu bekerja secara fizikal, dengan kemungkinan tugas mereka dikurangkan atau dihapuskan dalam tempoh berkenaan, menurut e-mel yang dihantar kepada kakitangan persekutuan dan diteliti oleh Reuters.

E-mel berkenaan memberi kakitangan persekutuan sehingga 6 Februari untuk membuat keputusan sama ada mahu menyertai program ini.

Mereka yang berminat diarahkan untuk membalas e-mel dari akaun kerajaan dengan menaip perkataan ‘resign’.

Tawaran ini meliputi kakitangan awam kecuali mereka yang bekerja dalam bidang imigresen, keselamatan negara, dan perkhidmatan pos AS.

Langkah yang belum pernah terjadi sebelum ini dibuat ketika Trump menggunakan tempoh awal pentadbirannya untuk mengecilkan, membersihkan, dan membentuk semula kerajaan persekutuan agar selaras dengan keutamaan politiknya.

Terdapat kira-kira 2.3 juta kakitangan awam AS, tidak termasuk perkhidmatan pos.

Agensi berkaitan keselamatan merangkumi sebahagian besar tenaga kerja persekutuan, tetapi ratusan ribu individu bekerja di seluruh negara dalam tugas seperti penyeliaan penjagaan kesihatan veteran, pemeriksaan pertanian, dan pembayaran bil kerajaan.

E-mel itu menyatakan bahawa kerajaan menjangkakan tenaga kerja yang ‘lebih cekap dan fleksibel.’

Walaupun ketenteraan dan beberapa agensi mungkin meningkatkan jumlah kakitangan, kebanyakan agensi dijangka mengalami pengecilan melalui penstrukturan semula dan pemberhentian pekerja, menurut e-mel berkenaan, yang turut memberi amaran bahawa kaitangan persekutuan tidak dapat dijamin keselamatan pekerjaan mereka.

Elon Musk, jutawan yang dilantik oleh Trump untuk mengawasi usaha pemotongan kos kerajaan, pada awalnya mensasarkan pemotongan perbelanjaan sebanyak AS$2 trilion daripada belanjawan persekutuan sebanyak AS$6.8 trilion.

Namun, beliau berkata jumlah pemotongan mungkin lebih kecil. – Reuters

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini