WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) telah memulakan komunikasi dengan kumpulan pembebasan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) bagi menggesa sokongan pembentukan kerajaan peralihan yang inklusif selepas penggulingan Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Perbincangan yang dijalankan dengan kerjasama sekutu Asia Barat itu, menekankan HTS, yang sebelum ini bersekutu dengan al-Qaeda, tidak seharusnya mengambil alih kepimpinan secara automatik, namun membenarkan proses yang mewakili kehendak rakyat Syria.
Pihak AS juga berkoordinasi dengan pasukan Presiden terpilih, Donald Trump, mengenai perkara ini.
Meskipun pemimpin HTS, Ahmed al-Sharaa disenaraikan sebagai pengganas oleh AS pada 2013, pendirian semasa pentadbiran mengenai peranannya dalam masa depan Syria masih belum jelas.
AS menekankan keperluan untuk kerajaan yang kredibel, inklusif, dan tidak bersifat sektarian, selaras dengan piawaian antarabangsa.
Beberapa penggubal undang-undang AS mencadangkan agar sekatan terhadap Syria ditarik balik untuk membantu dalam pembinaannya semula.
AS juga komited untuk meneruskan operasi ketenteraan di Syria bagi menentang Daesh dan mencegah kumpulan proksi yang disokong Iran daripada mendapatkan pengaruh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.