WASHINGTON: Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) menyatakan kelegaan selepas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menarik balik pengisytiharan undang-undang tentera selepas dibantah oleh Parlimen negara itu.
Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, pihaknya lega apabila Presiden Yoon mengubah pendirian mengenai pengisytiharan undang-undang tentera dan menghormati undian Dewan Negara Korea untuk membatalkannya.
Tegasnya, demokrasi adalah asas kepada pakatan AS-Korea dan White House akan terus memantau keadaan.
Setakat ini, Presiden AS, Joe Biden belum memberi sebarang reaksi atau ulasan mengenai situasi itu.
Sebaliknya, Biden secara ringkas memaklumkan, beliau akan diberi taklimat mengenai perkara itu selepas menyampaikan ucapan di sebuah acara hari ini.