BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dijadual menandatangani ketetapan rasmi membenarkan kemasukan tanpa visa praperjalanan ke negara itu maksimum 60 hari kepada 93 negara dan wilayah, berkuat kuasa serta-merta.
Selain Malaysia, negara serantau Vietnam, Indonesia, Brunei dan Filipina turut termasuk dalam senarai Kementerian Luar Thailand itu.
Sementara itu, warga asing yang melawat Thailand untuk melancong sambil bekerja akan dibenarkan tinggal sehingga 180 hari pada satu-satu masa, di bawah visa khas yang sah selama lima tahun.
Selain itu, penuntut asing yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau lebih tinggi akan dibenarkan tinggal selama setahun selepas tamat pengajian.
Memetik portal Thai PBS, empat ketetapan itu sebelum ini diluluskan Kementerian Dalam Negeri.
Satu lagi adalah kemas kini senarai negara yang tertakluk kepada prosedur khas imigresen, peningkatan daripada 19 kepada 31 negara.
Kesemua ketetapan itu meningkatkan ketibaan warga asing, bertujuan meningkatkan sektor pelancongan di Thailand yang dianggap sebagai pemacu utama ekonomi negara itu.
Menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, negara itu menerima lebih 14.32 juta pelancong setakat minggu akhir Mei lalu dan berhasrat untuk menarik sekurang-kurangnya 35 juta ketibaan pelancong asing pada tahun ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.