CHINA: Seramai 91 orang cedera dalam gempa bumi di Tibet pada Selasa manakala lebih 47,000 individu telah dipindahkan ke tempat perlindungan yang lebih selamat.
Kesemua mangsa yang cedera masih ditempatkan di hospital untuk menerima rawatan.
Pasukan penyelamat masih meneruskan pencarian mangsa yang masih hidup di kaki banjaran pegunungan Himalaya, walaupun peluang untuk menemui mereka mangsa yang masih hidup adalah tipis.
Rawatan perubatan beralih daripada rawatan kecemasan kepada rawatan standard secara berperingkat, kata Timbalan Setiausaha Parti bagi Suruhanjaya Kesihatan Wilayah, Gesang Yudron dalam satu sidang media.
Sekitar 47,500 orang yang terjejas oleh gempa bumi telah dipindahkan ke 187 tempat perlindungan di bandar-bandar sekitar pusat gempa, sementara rumah prefabrikasi dibina menggantikan khemah mereka, lapor CCTV.
Sehingga kini, tragedi gempa bumi dengan kekuatan 6.8 magnitud itu secara keseluruhannya telah mengorbankan 126 orang manakala 188 lagi cedera, namun jumlah mangsa yang hilang belum diketahui.
Selepas 48 jam berlalu, pakar mendakwa mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan kemungkinan telah meninggal dunia akibat hipotermia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.