comscore
Tumpuan :
Dunia

9,000 gegaran susulan dikesan di Turkiye sejak 6 Februari lalu

Pakar seismologi di Pusat Pemantauan Gempa Bumi-Tsunami Balai Pemantau Kandilli,Turki memantau gegaran susulan kejadian gempa bumi 6 Februari lalu. – FOTO : AP

ISTANBUL: Kemungkinan kejadian gempa bumi besar di Istanbul seperti yang melanda Turkiye dan Syria awal bulan ini, adalah rendah.

Pakar seismologi Turki yakin risiko untuk kejadian sebegitu tidak tinggi.

“Risiko tidak meningkat kerana kita bercakap mengenai sistem yang sama sekali berbeza,” kata Pengarah Pusat Pemantauan Gempa Bumi-Tsunami Balai Pemantau Kandilli, Dogan Kalafat di Istanbul.

Kalafat menjelaskan bandar paling ramai penduduk di Turkiye terletak berhampiran Sesar Anatolia Utara manakala gempa bumi 7.8 magnitud baru-baru ini yang mengorbankan 43,500 orang berlaku di sepanjang sesar lain di tenggara negara itu.

Namun beliau tidak pasti sama ada 16 juta penduduk Istanbul, yang terletak di dua benua dan menyaksikan pertumbuhan pesat pembangunan pencakar langit sejak kebelakangan ini, sudah bersedia untuk menghadapi kejadian sepertinya.

“Saya ingin mengatakan malangnya, ia adalah bandar yang sangat besar dengan terlalu banyak bangunan yang dibina dengan teruk” kata Kalafat, yang mengecam penggunaan simen berkualiti rendah dan membina di atas tanah yang lembut.

“Sementara menunggu kejadian gempa besar, kita mesti memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Kita mesti membina rumah kalis gempa bumi di atas tanah yang kukuh. Ia adalah langkah berjaga-jaga yang paling penting untuk diambil,” tegas pakar seismologi itu.

Di balai pemantau, ahli seismologi bergilir-gilir setiap lapan jam menumpukan perhatian kepada satu siri skrin komputer yang memantau potensi gegaran.

Di hadapan mereka, pada dinding setinggi lima meter, sebuah skrin gergasi menyediakan bacaan masa nyata daripada 260 stesen seismik di seluruh negara.

“Sebanyak 9,000 gegaran susulan sudah berlaku di Turkiye sejak 6 Februari, tujuh atau lapan kali ganda lebih daripada biasa,” kata Kalafat.

Pada satu meja lain, peta menunjukkan Sesar Anatolia Utara, yang merentasi Laut Marmara, hanya 15 hingga 17 kilometer dari pantai selatan Istanbul.

Pada tahun 2001, dua tahun selepas gempa 7.4 magnitud menyebabkan 17,000 orang mati di barat laut Turkiye, Kalafat mengira 65 peratus kebarangkalian bahawa gempa bumi dengan gegaran melebihi 7 magnitud akan berlaku sebelum 2030 di wilayah yang sama — termasuk Istanbul.

Risiko meningkat kepada 75 peratus dalam 50 tahun dan 95 peratus dalam 90 tahun.

“Statistik ini masih relevan, walaupun dengan teknologi hari ini, adalah mustahil untuk meramalkan gempa bumi.

“Kami boleh menunjukkan, dengan margin ralat tertentu, di mana gempa bumi boleh berlaku dan berapa magnitudnya, tetapi kami tidak tahu bila ia akan berlaku,” katanya.

Beliau menjelaskan Balai Pemantau Kandilli sudah membangunkan sistem amaran awal tetapi Istanbul terlalu dekat dengan garis sesar untuk sistem itu berkesan.

Amaran awal boleh membantu maksimum tujuh atau lapan saat, masa yang tidak mencukupi untuk membolehkan penduduk lari ke tempat selamat.

Sebagai perbandingan, sistem amaran telefon di wilayah Tohoku Jepun, yang dilanda gempa bumi dan tsunami yang dahsyat pada Mac 2011, memberi orang ramai masa 45 saat untuk menyelamatkan diri.

“Di sana, anda boleh menghantar mesej amaran kepada rakyat, tetapi kami tidak mempunyai kebolehan itu di sini,” katanya. – AFP

Loading...
Terkini