DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memindahkan 86 rakyat Palestin yang cedera, serta 124 anggota keluarga mereka dari sempadan Gaza, lapor Sputnik, memetik kenyataan Timbalan Menteri Luar UAE, Sultan Mohammed Al Shamsi pada hari Khamis.
“Inisiatif baru ini menonjolkan tahap interaksi yang tinggi antara UAE dan WHO serta menunjukkan komitmen kukuh UAE dalam menyokong rakyat Palestin yang seagama di tengah-tengah bencana kemanusiaan di Gaza,” kata Al Shamsi, seperti yang dipetik oleh Kementerian Luar UAE.
Menurut kenyataan kementerian, rakyat Palestin yang telah dipindahkan dibawa ke Israel melalui pos pemeriksaan sempadan Kerem Shalom dan seterusnya dari Lapangan Terbang Ramon ke Abu Dhabi dengan pesawat Etihad.
Jumlah keseluruhan rakyat Palestin dan ahli keluarga mereka yang diterbangkan ke UAE untuk rawatan kini mencecah 2,127 orang. – BERNAMA-SPUTNIK
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.