Tumpuan :
Dunia

8 maut dalam serangan Israel di Tebing Barat

TULKAREM: Lapan penduduk Palestin, termasuk dua wanita, terbunuh dalam serangan oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.

Kementerian yang berpangkalan di Ramallah itu melaporkan tujuh kematian berlaku di kem pelarian Tulkarem dan satu lagi di kem Nur Shams berhampiran, selepas tentera melancarkan serbuan besar-besaran awal pagi Selasa.

Dua wanita yang terbunuh di Tulkarem dikenal pasti sebagai Khawla Ali Abdullah Abdo, 53, dan Bara Khalid Hussein, 30, menurut kementerian tersebut.
Seorang lagi mangsa, Fathi Said Awda Ubaid, 18, dilaporkan maut akibat tembakan di bahagian dada dan perut.

Kementerian itu turut mengesahkan seorang lagi mangsa terbunuh di kem pelarian Nur Shams, yang turut menjadi sasaran serangan tentera Israel semasa operasi tersebut.

Sementara itu, tentera Israel dalam satu kenyataan berkata mereka telah ‘menghapuskan seorang pengganas’ dalam pertempuran jarak dekat ketika serbuan yang bermula semalaman di Tulkarem.

Bagaimanapun, tidak jelas individu mana dalam kalangan mangsa yang dirujuk oleh kenyataan tentera Israel itu.

Penduduk kem Tulkarem melaporkan bahawa operasi tersebut turut melibatkan jentolak yang merosakkan jalan raya di kawasan berkenaan.

Keganasan di Tebing Barat semakin memuncak sejak perang di Gaza tercetus pada 7 Oktober tahun lalu susulan serangan Hamas ke atas Israel.

Sejak itu, sekurang-kurangnya 811 penduduk Palestin terbunuh di Tebing Barat akibat tindakan tentera Israel atau peneroka haram, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini