DAMSYIK: Sekurang-kurangnya lapan maut akibat serangan udara tentera Israel ke atas bangunan tambahan konsulat Iran di Damsyik, Syria.
Mangsa korban termasuk seorang komander tertinggi dalam Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) Brigedier Jeneral Mohammad Reza Zahedi.
Duta besar Iran, Hossein Akbari mendakwa bangunan itu dibedil dengan enam peluru berpandu dari pesawat perang F-35 milik Israel.
Menteri Luar Syria, Faisal Mekdad dalam pada itu menyifatkan serangan terbabit sebagai pelanggaran besar peraturan antarabangsa.
Ia adalah serangan kelima dalam tempoh lapan hari ke atas Syria, di mana Presiden Bashar Al-Assad memperoleh sokongan kuat daripada Iran dan sekutunya.
Insiden terbabit dijangka meningkatkan lagi ketegangan dalam konflik Israel yang semakin giat melancarkan serangan terhadap kumpulan pejuang berkait Iran. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.