
KUALA LUMPUR: Guna khidmat lapan jengkaut serta puluhan lori hasil sumbangan dana rakyat Malaysia bagi membersihkan ratusan tan sisa runtuhan bangunan serta kediaman yang menimbus jalan utama di Gaza.
Itu antara usaha terkini dilakukan pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) diketuai Pengerusi MCM Palestin, Ahmed Abu Ayesh bagi memulihkan semula infrastruktur negara berkenaan yang musnah.
Difahamkan usaha yang turut disokong pihak berkuasa tempatan di Khan Younis, selatan Gaza dilakukan sejak seminggu lalu.
Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, cabaran terbesar bagi memulihkan Gaza adalah membersihkan dahulu bongkah batu kediaman dan bangunan yang diletupkan tentera Israel dalam serangan bermula Oktober 2023.
Menurutnya, kebanyakan bangunan diletupkan di Gaza yang dibina menggunakan bahan asas keluli dan konkrit.
“Ia runtuh serta menutup jalan utama di Gaza. Keadaan ini sedikit sebanyak menyukarkan misi penghantaran bantuan kemanusiaan dan makanan kepada penduduk Gaza.
“Oleh itu jentera khas terutama jentolak diperlukan untuk membersihkan kesan runtuhan berkenaan bagi membolehkan jalan di Gaza digunakan semula. Tugas ini memang sukar selain menelan kos yang tinggi.
“Bagaimanapun, MCM berusaha untuk membantu rakyat Palestin melalui usaha awal ini. Syukur, kebanyakan jalan utama di Khan Younis sudah boleh dilalui oleh lori atau treler yang membawa bantuan kemanusiaan,” katanya.
Menurutnya, selain itu Abu Ayesh turut membuka dapur khas bagi memasak juadah makanan berbuka puasa yang disumbangkan kepada penduduk Palestin di Gaza.
“Usaha ini dilakukan sejak awal tahun lalu dan diteruskan sehingga kini hasil sumbangan dan derma berterusan diberikan rakyat Malaysia.
“Sekumpulan sukarelawan turut membantu Abu Ayesh dalam proses penyediaan bahan mentah, memasak, membungkus sebelum ia diagihkan kepada penduduk Gaza.
“Selepas hampir 16 bulan pengeboman tanpa henti, sebahagian besar penduduk Gaza masih hidup dalam keadaan daif dikelilingi oleh runtuhan rumah mereka,” katanya.
Zulkifli berkata, MCM akan meneruskan usaha membantu rakyat Palestin menerusi Kempen Ramadan Palestin.
“Melalui kempen ini, MCM akan memberi fokus kepada aktiviti antaranya sumbangan iftar berbuka puasa untuk 400 hingga 500 orang sehari.
“Kami turut menyasarkan sumbangan bantuan pek makanan berisi makaroni, gula, kekacang, minyak masak dan sebagainya kepada 1,000 penduduk Palestin di Gaza sepanjang Ramadan ini.
“Selain itu kami menyasarkan sumbangan roti serta bekalan air minuman secara konsisten,” katanya.
Beliau berkata, selain misi membersih dan membaiki jalan raya yang rosak di Gaza, pihaknya turut akan membina surau yang boleh dimanfaatkan penduduk Palestin.
“Sekurang-kurangnya sejuta penduduk di Khan Younis akan menerima sumbangan bersasar ini. Oleh itu MCM kini akan terus mempergiatkan usaha mengumpul dana tambahan sebanyak RM1 juta bagi menjayakan misi ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.