BAITULMAQDIS: Kementerian Kehakiman Israel memaklumkan 737 tahanan akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan yang diluluskan hari ini.
Dalam kenyataan di laman sesawangnya, kementerian itu menyatakan kerajaannya meluluskan pembebasan 737 tahanan dan banduan yang kini berada di bawah jagaan penjara.
Menurut pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Kabinet Israel mengundi untuk meluluskan perjanjian gencatan senjata itu awal pagi ini, sekali gus menamatkan ketidakpastian beberapa hari mengenai sama ada gencatan senjata itu akan berkuat kuasa esok atau sebaliknya.
Sebelum ini, kementerian menerbitkan senarai 95 tahanan Palestin, kebanyakannya wanita yang akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk tawanan Israel di Gaza.
Antara nama dalam senarai tambahan itu ialah Zakaria Zubeidi, seorang ketua sayap bersenjata parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmud Abbas.
Sebelum ini Zubeidi melarikan diri dari penjara Gilboa di Israel bersama lima lagi tahanan Palestin pada 2021, sehingga mencetuskan pemburuan selama beberapa hari dan dianggap sebagai wira oleh rakyat Palestin.
Turut dibebaskan adalah Khalida Jarar, seorang Ahli Parlimen kiri Palestin yang ditangkap dan dipenjarakan oleh Israel beberapa kali.
Jarar adalah ahli terkemuka bagi Front Popular untuk Pembebasan Palestin, sebuah kumpulan yang diisytiharkan sebagai “organisasi pengganas” oleh Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah.
Ditahan pada akhir Disember di Tebing Barat, sejak itu wanita berusia 60 tahun berkenaan ditahan tanpa sebarang pendakwaan.
Sementara itu, jurucakap kementerian kehakiman, Noga Katz, mengatakan jumlah akhir tahanan yang akan dibebaskan dalam pertukaran pertama bergantung kepada jumlah tebusan hidup yang dibebaskan oleh kumpulan pejuang itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.