Tumpuan :
Dunia

70 terbunuh termasuk tiga bayi dalam serangan berkumpulan di Haiti

FOTO: Reuters

PORT-AU-PRINCE: Sekurang-kurangnya 70 orang termasuk tiga bayi, terbunuh dalam serangan berkumpulan di bandar Artibonite, Haiti, pada Khamis, menurut kenyataan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

PBB menyatakan, serangan oleh kumpulan yang dikenali sebagai Gran Grif dilengkapi dengan senapang automatik, membunuh 10 wanita dan tiga bayi, selain mencederakan 16 individu dalam serangan yang dianggap paling ganas di wilayah tersebut.

Insiden itu berlaku di sebuah pusat pertanian utama kira-kira 50 batu utara Port-au-Prince.

Serangan itu turut menyaksikan lebih daripada 45 rumah dibakar dan 34 kenderaan dimusnahkan, memaksa ramai penduduk untuk melarikan diri bagi.

Kementerian Kesihatan Haiti mengesahkan bahawa mereka sedang berusaha untuk membantu mangsa-mangsa serangan tersebut, namun menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi.

Sementara itu, Perdana Menteri Haiti, Garry Conille, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan bahawa pihak berkuasa akan mempertingkat usaha keselamatan untuk menangani situasi tersebut.

“Jenayah keji ini, yang dilakukan terhadap wanita, lelaki, dan kanak-kanak yang tidak berdosa, bukan sahaja serangan terhadap mangsa, tetapi terhadap seluruh bangsa Haiti,” katanya.

Geng Gran Grif, dikatakan paling berkuasa di Artibonite, telah meningkatkan aktiviti jenayah mereka sejak kebelakangan ini. Pemimpin kumpulan itu Luckson Elan, turut disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS) bulan lalu atas dakwaan penculikan, pembunuhan, penderaan seksual, dan merogol wanita serta kanak-kanak.

Trend keganasan berkumpulan di Haiti telah meningkat secara mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, PBB melaporkan bahawa lebih daripada 3,661 orang telah terbunuh sejak Januari tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini