BEIJING: China mengesan tujuh jangkitan sub-varian pantas menular COVID-19 JN.1 sehingga semalam.
Menurut Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan (CDC), tahap kelaziman JN.1 pada masa ini sangat rendah
Namun mereka tidak menolak kemungkinan ia menjadi varian yang dominan di China disebabkan beberapa faktor termasuk kes import.
Berdasarkan anggaran CDC, JN.1 kini menyumbang lebih daripada 20 peratus daripada semua kes di Amerika Syarikat (AS).
Menurut badan itu lagi, peningkatan itu menunjukkan JN.1 mungkin lebih mudah menular dan lebih tinggi potensi untuk melepasi sistem imun orang.
Ia mula dikenal pasti di Luxembourg dan kemudian merebak ke Britain, Iceland, Perancis dan AS.
JN.1 pertama kali dikesan di AS pada September dan sebelum ini dikumpulkan dengan BA.2.86 dalam pengesan datanya.
Kes JN.1 dijangka akan terus meningkat sebagai sebahagian daripada jumlah kes kerana sub-varian itu kini paling pesat berkembang di AS.
JN.1 juga berkait rapat dengan sub-varian BA.2.86 virus, yang dijejaki CDC sejak Ogos lalu.
Pada masa ini, tiada bukti bahawa JN.1 memberikan peningkatan risiko kepada kesihatan awam berbanding varian lain yang sedang menular.
Malah suntikan yang dikemas kini boleh memastikan rakyat AS dilindungi daripada varian itu.
Pada 27 November lalu, CDC menyatakan sub-varian BA.2.86 menyumbang kira-kira lima hingga 15 peratus daripada varian yang sedang menular. – REUTERS