SYDNEY: Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menganggarkan lebih 670 orang dikhuatiri maut dalam kejadian tanah runtuh di Papua New Guinea pada Jumaat lalu.
Jumlah itu meningkat lebih sekali ganda berbanding laporan awal media sebelum ini yang menganggarkan kejadian tanah runtuh di negara Pasifik Selatan di utara Australia itu telah menyebabkan lebih 300 orang tertimbus.
IOM dalam satu kenyataan hari ini berkata hanya lima mayat sudah ditemui setakat ini.
IOM membuat anggaran itu berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh pegawai dari Kampung Yambali di wilayah Enga bahawa lebih 150 buah rumah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada Jumaat lalu.
Ketua Misi IOM di negara pulau Pasifik Selatan, Serhan Aktoprak berkata demikian dalam satu kenyataan menerusi email.
memaklumkan lebih 150 rumah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh Jumaat lalu di Kampung Yambali di wilayah Enga itu.
Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia dalam satu kenyataan berasingan pula berkata lebih enam kampung terjejas akibat tanah runtuh di Mulitaka wilayah Enga kira-kira 600 kilometer dari ibu negara Port Moresby.
“Tanah runtuh masih berlaku dengan batu-batu mengelongsor berikutan tekanan meningkat berterusan dan air masih mengalir menerusi struktur tanah yang longgar sehingga kawasan itu masih berisiko bahaya melampau untuk semua orang,” kata Aktoprak.
Menurut ketua agensi IOM itu, lebih 250 rumah berdekatan lokasi tanah runtuh ditinggalkan penduduk dan kira-kira 1,250 orang sudah dipindahkan.
“Orang ramai menggunakan kayu penggali, penyodok, peralatan pertanian yang besar untuk mengeluarkan mayat yang tertimbus di bawah runtuhan,” katanya lagi.
IOM berkata lebih 100 rumah, sebuah sekolah rendah, perniagaan kecil dan gerai, sebuah rumah tumpangan dan sebuah stesen minyak tertimbus akibat kejadian tanah runtuh itu.
Sementara itu, Pejabat Papua New Guinea PBB berkata tiga mayat dikeluarkan dari kawasan di mana 50 hingga 60 rumah musnah, manakala enam orang termasuk seorang kanak-kanak, dikeluarkan hidup-hidup daripada runtuhan.
Katanya, ramai daripada mereka yang tertimbus masih belum ditemui kerana usaha mencari dan menyelamat menemui kesukaran berikutan ia terletak di kawasan pergunungan negara yang berkongsi pulau New Guinea dengan Indonesia.
Dalam pada itu, Kumpulan bantuan CARE Australia berkata semalam, hampir 4,000 orang tinggal di zon berisiko tinggi tetapi jumlah yang terjejas mungkin lebih tinggi kerana kawasan itu turut dijadikan ‘tempat perlindungan bagi mereka yang dipindahkan akibat konflik’ di kawasan berhampiran.
Sekurang-kurangnya 26 lelaki terbunuh di wilayah Enga pada Februari dalam satu serangan hendap di tengah-tengah keganasan puak yang mendorong Perdana Menterinya, James Marape memberikan kuasa menangkap kepada tentera negara itu.
Tanah runtuh itu meninggalkan timbunan sehingga lapan meter dalam merentasi 200 kilometer persegi, mengakibatkan akses jalan raya terputus dan menyukarkan usaha bantuan, kata kumpulan bantuan CARE.
Penggunaan helikopter adalah satu-satunya usaha yang dapat merentasi kawasan itu, lapor Australian Broadcasting Corp.
Kumpulan bantuan berkata lebih banyak rumah berisiko sekiranya kejadian tanah runtuh masih berterusan menuruni gunung kerana bentuk bumi kekal tidak stabil.
Marape berkata pegawai bencana, Angkatan Pertahanan dan Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya membantu dengan usaha bantuan dan pemulihan.
Rakaman media sosial yang disiarkan oleh penduduk kampung Ninga Role menunjukkan orang ramai memanjat batu, menggali pokok dan timbunan tanah bagi mencari mangsa yang terselamat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.