Tumpuan :
Dunia

664 penduduk dipindahkan susulan letusan Gunung Ibu

Foto hiasan

HALMAHERA BARAT: Proses pemindahan yang masih berterusan menjadikan jumlah penduduk yang dipindahkan dari zon bahaya Gunung Ibu, Kabupaten Halmahera Barat, Maluku Utara meningkat kepada 664 orang pada hari Ahad (19/1).

Perkara ini dinyatakan oleh Komandan Posko, Kolonel Arm Adietya Yuni Nurtono, sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Penilaian Harian di Posko Pejabat Bupati Halmahera.

“Seramai 664 orang telah kami pindahkan dan telah ditempatkan di lokasi-lokasi penempatan sementara,” kata Adietya.

Beliau menambah bahawa proses pemindahan masih terus dijalankan sepanjang hari mengikut keperluan.

“Evakuasi akan dilakukan selama 24 jam, dengan sistem yang memastikan anggota dan kenderaan sentiasa bersedia. Pada bila-bila masa, kami siap, seperti malam tadi kami memindahkan masyarakat pada pukul 23.00 WIT,” tambahnya.

Penambahan jumlah mangsa pemindahan tersebut menyebabkan pasukan penyelamat memerlukan sokongan kenderaan tambahan dan kenderaan baharu akan segera disediakan khususnya untuk logistik.

“Bagi memenuhi keperluan logistik, kami akan menambah kenderaan pengangkutan. Dengan peningkatan jumlah mangsa pemindahan, tentunya jumlah lokasi penghantaran logistik juga akan bertambah,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Infrastruktur Darurat BNPB, Andria Yuferryzal, menyatakan bahawa BNPB akan terus memberi sokongan kepada pihak kerajaan daerah dalam menangani situasi darurat ini.

BNPB bersama kerajaan daerah sedang menyediakan tempat-tempat penempatan sementara, termasuk keperluan logistiknya.

Proses pengagihan logistik bermula dengan pos penempatan sementara mengemukakan senarai keperluan dan seterusnya pasukan logistik akan mengedarkan keperluan tersebut ke pos berkenaan. BNPB Indonesia

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini