Tumpuan :
Dunia

6,000 polis dikerah kekang keganasan memuncak di UK

LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) mengerah 6,000 pegawai dan anggota polis khas untuk menangani rusuhan sayap kanan yang berlaku, susulan pembunuhan tiga kanak-kanak, yang mencetuskan keganasan berlarutan.

Pada Isnin, enam ditahan dan beberapa pegawai polis cedera apabila diserang perusuh yang membaling batu bata dan bunga api di Plymouth, selatan England.

Pegawai di Belfast, Ireland Utara, diserang ketika perusuh cuba membakar sebuah kedai milik seorang warga asing.

Menurut polis, seorang lelaki berusia 30-an diserang teruk ketika kekacauan itu dan mereka menganggap kejadian itu sebagai jenayah kebencian bermotif perkauman.

Foto: Reuters

Sementara itu, sekumpulan lelaki berkumpul di Birmingham, untuk menentang demonstrasi sayap kanan yang dikhabarkan, memaksa seorang wartawan Sky News berhenti bersiaran.

Beliau kemudian diekori oleh seorang lelaki yang memakai penutup muka dan memegang sebilah pisau.

Seorang lagi wartawan, berkata beliau dikejar anggota kumpulan itu “dengan apa yang kelihatan seperti senjata”, manakala polis berkata terdapat juga insiden kerosakan jenayah di sebuah pub dan sebuah kereta.

Pergolakan tercetus pada Selasa lalu selepas tiga kanak-kanak maut dalam kejadian tikaman di kelas tarian bertemakan Taylor Swift di Southport, barat laut England.

Sejak itu, rusuhan berlaku di beberapa bandar dan pekan, yang membawa kepada ratusan tangkapan.

Menteri Kehakiman, Heidi Alexander memaklumkan BBC Radio 4, kerajaan menambah 500 tempat di penjara dan mempersiap 6,000 pegawai polis khas untuk menangani keganasan yang berterusan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini