HYDERABAD: Sekurang-kurangnya enam terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam satu rempuhan di selatan India pada Rabu malam.
Ia ekoran selepas ribuan penganut beratur di luar salah sebuah kuil Hindu yang paling ramai dikunjungi untuk mengambil pas bagi lawatan percuma ke rumah ibadat itu.
Pihak berkuasa telah menyediakan kaunter di sebuah sekolah untuk mengeluarkan pas mulai Khamis bagi penganut yang ingin melawat Kuil Sri Venkateswara Swamy.
Kuil yang turut dikenali dengan nama Tirupati, di negeri Andhra Pradesh itu dibuka bagi lawatan percuma antara 10-19 Januari, satu tempoh yang dianggap bertuah oleh penduduk tempatan.
Orang ramai mula beratur sejak Rabu untuk mendapatkan pas dan ia sekaligus menyebabkan rempuhan selepas mereka saling tolak menolak, menurut pejabat ketua menteri negeri tersebut.
“Sedih dengan kejadian rempuhan di Tirupati, Andhra Pradesh. Saya turut bersedih bagi mereka yang kehilangan orang tersayang,” kata Perdana Menteri India, Narendra Modi di X.
Menurut saksi, rempuhan berlaku di dua lokasi apabila pintu gerbang dibuka untuk membenarkan seorang penganut yang sakit keluar daripada barisan.
Para penganut, yang kebanyakannya telah menunggu sejak pagi, terus menerjah ke hadapan, menyebabkan kesesakan yang teruk dan kekacauan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.