KABUL: Sebanyak 5,000 unit artifak kebudayaan telah dipindahkan ke Muzium Negara Afghanistan sejak kerajaan sementara Afghanistan mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, lapor Xinhua yang memetik pemangku Menteri Kebudayaan dan Penerangan, Mullah Khairullah Khairkhwa, pada Sabtu.
“Usaha yang besar telah dilakukan untuk memelihara dan melindungi warisan bersejarah negara yang dilanda perang ini. Negara-negara di mana artifak bersejarah Afghanistan diseludup, seharusnya menghukum penyeludup dan tidak mengambil kesempatan terhadap artifak bersejarah Afghanistan,” kata Khairkhwa seperti yang dipetik oleh agensi berita milik kerajaan, Agensi Berita Bakhtar.
Sebanyak 2,000 unit artifak kebudayaan telah dibaik pulih dalam tempoh yang sama, kata Khairkhwa, sambil menyatakan bahawa kerajaan telah menghalang penyeludupan 1,500 unit artifak bersejarah ke luar negara.
Menurut kementerian, lebih daripada 60,000 artifak kuno dari pelbagai era telah didaftarkan dan dipamerkan di Muzium Negara Afghanistan di Kabul. – BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.