Tumpuan :
Dunia

500 juta kanak-kanak daftar kelahiran, 150 juta belum dikesan – UNICEF

Foto hiasan

BANGKOK: Lebih 500 juta atau hampir lapan dalam 10 kanak-kanak bawah lima tahun telah didaftarkan kelahiran mereka dalam tempoh lima tahun lalu.

Ia mencerminkan kemajuan ketara dalam mendapatkan identiti sah di serata dunia, menurut laporan Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang baharu dikeluarkan pada 11 Disember.

Laporan bertajuk ‘Permulaan Tepat dalam Kehidupan: Trend dan paras sejagat dalam pendaftaran kelahiran, kemas kini 2024’ itu dikeluarkan sempena ulang tahun ke-78 UNICEF.

Ia adalah maklumat terkini mengenai bilangan kanak-kanak yang didaftarkan sejak 2019, apabila paras global mencapai 75 peratus.
Menurut laman sesawang UNICEF walaupun paras itu meningkat kepada 77 peratus hari ini, 150 juta atau sekitar dua dalam 10 kanak-kanak bawah lima tahun kekal tidak berdaftar dan tidak dapat dikesan dalam sistem pemerintah.

Laporan itu turut mendedahkan lebih 50 juta kanak-kanak yang kelahiran mereka direkodkan tidak mempunyai sijil kelahiran.

Dokumen itu berfungsi sebagai bukti pendaftaran dan penting untuk memperoleh kewarganegaraan, mencegah ketiadaan kewarganegaraan dan memastikan kanak-kanak dapat menikmati hak mereka sejak lahir.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell, berkata pendaftaran kelahiran memastikan kanak-kanak diiktiraf serta-merta di bawah undang-undang, menyediakan asas untuk perlindungan daripada bahaya dan eksploitasi serta akses kepada perkhidmatan penting seperti vaksin, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Sedang UNICEF meraikan 78 tahun memperjuangkan hak kanak-kanak hari ini, kita meraikan kemajuan yang dicapai bagi berjuta-juta kanak-kanak dalam mendapatkan hak mereka memperoleh identiti yang sah.

“Pada masa sama, perlu ada usaha lebih gigih untuk memastikan setiap kanak-kanak, di mana sahaja mereka berada, didaftarkan semasa lahir,” katanya.

Kemajuan peringkat sejagat sebahagian besarnya didorong oleh negara yang mengutamakan pendaftaran tepat pada masanya, memanfaatkan kesihatan, perlindungan sosial dan sistem pendidikan, mengembangkan perkhidmatan ke lebih banyak lokasi, mendigitalkan proses dan membatalkan yuran.

Amerika Latin dan Caribbean mencapai 95 peratus; Timur dan Tenggara Asia 94 peratus; dan Asia Tengah dan Selatan 78 peratus.

Bagaimanapun, kawasan Afrika sub-Sahara ketinggalan dengan ketara pada 51 peratus, menyumbang kepada lebih separuh daripada kanak-kanak tidak berdaftar di dunia (90 juta). Di sub-Sahara Afrika , kemajuan dan paras berbeza-beza secara meluas.

Sebagai contoh, selatan Afrika mendahului dengan 88 peratus, manakala kawasan barat Afrika telah membuat kemajuan paling ketara sepanjang 15 tahun, mencapai 63 peratus manakala kawasan timur Afrika dan tengah Afrika ketinggalan, kedua-duanya pada 41 peratus.

Susulan pendaftaran perlahan dan penambahan pesat jumlah kanak-kanak, Afrika bersedia untuk menempatkan majoriti kanak-kanak dunia dalam dekad akan datang, yang boleh menyaksikan lebih 100 juta kanak-kanak tidak berdaftar selepas 2030 jika paras kekal seperti sekarang.

Kata Russell, walaupun ada kemajuan, terlalu ramai kanak-kanak masih tidak dikira dan tidak dipertanggungjawabkan, menjadikan mereka tidak dilihat di mata pemerintah atau undang-undang.

“Setiap kanak-kanak berhak untuk didaftarkan dan diberikan sijil kelahiran supaya mereka diiktiraf, dilindungi dan disokong,” tegas beliau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini