WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendapati lima unit pasukan keselamatan Israel bertanggungjawab atas pencabulan hak asasi manusia di luar Gaza, sebelum konflik tercetus di antara Hamas dan Israel, pada Oktober lalu.
Kenyataan Jabatan Negara itu adalah yang pertama Washington terhadap tentera Israel, namun ia masih tidak menghalang mana-mana unit daripada menerima bantuan tentera negara itu
Timbalan Jurucakap Jabatan Negara, Vedant Patel berkata, Israel sudah menjalani ‘pemulihan’ dalam kes empat unit itu dengan mematuhi undang-undang AS yang melarang bantuan ketenteraan kepada unit pasukan keselamatan yang melakukan penderaan sedemikian dan ia juga belum dibawa ke muka pengadilan.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, mereka melaporkan insiden kepada Jabatan Negara, membabitkan unit Israel termasuk pembunuhan di luar undang-undang, penyeksaan dan penderaan fizikal, kebanyakannya dilakukan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Patel bagaimanapun enggan menyatakan butiran khusus mengenai pelanggaran yang dilihat oleh pegawai AS itu, termasuk unit mana terbabit atau langkah pemulihan yang dilakukan.
“Empat daripada unit ini telah membetulkan pelanggaran ini dengan berkesan, itulah yang kami harapkan rakan kongsi lakukan,” katanya.
Dalam kes unit kelima, Washington berkata, mereka belum menentukan sama ada terdapat pemulihan yang mencukupi dan ia masih dalam perbincangan dengan Israel.
Unit kelima dipercayai adalah batalion Netzah Yehuda dari Angkatan Pertahanan Israel, yang terbabit dalam kematian Omar Assad warga Palestin-Amerika berusia 78 tahun, pada 2022.
Patel berkata, semua unit kekal layak untuk bantuan AS.
Ketika ini, tingkah laku ketenteraan Israel itu semakin kejam dan mendapat perhatian yang semakin meningkat apabila tenteranya membunuh kira-kira 34,500 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak.
Semenanjung Gaza kini menjadi tanah terbiar dan kekurangan makanan yang melampau telah menyebabkan kebimbangan berlaku kebuluran.
Serangan Israel dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, di mana Israel mengatakan 1,200 orang terbunuh dan berpuluh-puluh tebusan ditahan. -REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.