BEIRUT: Sekurang-kurangnya 492 orang terbunuh dalam serangan udara besar-besaran oleh rejim Zionis ke atas Lubnan.
Dalam kejadian terbaharu kali ini, lebih 1,645 turut cedera susulan serangan berskala besar tentera Israel.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan antara yang terkorban dalam siri serangan udara termasuklah 35 kanak-kanak.
Sayap Hamas, Briged al-Qassam turut mengesahkan komander perangnya di selatan Lubnan, Hussein Mahmoud al-Nader maut dalam serangan udara rejim Tel Aviv.
Israel dalam kenyataan dikeluarkan oleh jurucakap tenteranya, Daniel Hagari mengesahkan kira-kira 1,300 serangan udara menyasarkan kedudukan pejuang Hizbullah dilancarkan.
Alasan terbaharu Israel dalam melancarkan serangan di Lubnan kali ini menurut Hagari, Hizbullah menyimpan senjata api di kediaman orang awam lalu serangan terpaksa dilancarkan ke kawasan yang padat dengan penduduk sekali gus meragut ratusan nyawa penduduk Lubnan.
Kenyataan rejim Zionis terbabit segera dinafikan oleh Hizbullah, menurut Reuters.
Rejim Zionis turut mengeluarkan amaran kepada penduduk di Lembah Bekaa untuk menyelamatkan diri, memberi amaran serangan berskala besar seterusnya akan disasarkan ke kawasan berkenaan.
Hizbullah dalam pada itu turut melancarkan serangan balas ke beberapa kawasan di Israel, antaranya Tel Aviv dan Haifa. – SUMBER REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.