comscore
Tumpuan :
Dunia

40 orang awam maut dalam serangan RSF di tengah Sudan

KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 40 orang awam terbunuh pada Ahad dalam serangan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di kampung Gouz Al-Naqa di Negeri Gezira, tengah Sudan, menurut Jawatankuasa Penentangan Abu Gouta, lapor Xinhua.

“Serangan RSF ke atas kampung Gouz Al-Naqa di kawasan Abu Gouta di Negeri Gezira membunuh sekurang-kurangnya 40 orang awam,” kata Jawatankuasa Penentangan Abu Gouta, sebuah kumpulan bukan kerajaan, dalam satu kenyataan.

Beberapa mayat masih terbiar di kampung itu, kerana RSF menghalang penduduk kampung yang berpindah daripada kembali untuk mengebumikan mayat, menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa itu menyeru pertubuhan masyarakat sivil untuk memberi tekanan kepada RSF untuk membenarkan penduduk memasuki kampung dan mengebumikan si mati.

RSF masih belum membuat sebarang komen mengenai serangan itu.

RSF menguasai Negeri Gezira pada Disember 2023 selepas Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) berundur dari Wad Madani, ibu negeri itu.

Sejak 15 April 2023, Sudan telah terlibat dalam konflik ganas antara SAF dan RSF. Konflik itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 16,650 kematian dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal.   – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini