BEIRUT: Sekurang-kurangnya 40 orang maut akibat serangan tentera Israel ke atas Lubnan yang menyasarkan sekitar bandar timur Baalbek di Lembah Bekaa, semalam.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, kebanyakan serangan dilancarkan rejim Zionis pada waktu senja yang menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut.
Israel dan Hizbullah yang disokong Iran berbalas tembakan selama lebih setahun, selari dengan perang Gaza, namun akhir September lalu pertempuran semakin meningkat dengan tentera Israel memperhebatkan pengeboman di selatan dan timur Lubnan serta membuat pencerobohan darat ke perkampungan sempadan.
Sehingga kini, tentera Israel masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung serangan itu.
Israel berulang kali menggempur kubu kuat kumpulan bersenjata Hizbullah di pinggir selatan ibu kota Beirut.
Semalam, tentera Israel mengarahkan penduduk di pinggir bandar selatan di beberapa lokasi mengosongkan tempat tinggal mereka, sebelum dua siri pengeboman menyusul lewat malam tadi dan satu lagi awal pagi ini.
TV Al Jadeed Lubnan melaporkan, terdapat sekurang-kurangnya empat serangan dilancarkan hari ini.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kematian atau butiran serangan itu.
Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem, dilaporkan berkata, beliau tidak percaya tindakan politik akan menamatkan peperangan.
Usaha diplomatik Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan pertempuran antara Israel dan Hizbullah, termasuk cadangan gencatan senjata selama 60 hari minggu lalu, goyah menjelang pilihan raya AS pada Selasa di mana bekas Presiden yang juga calon Republikan, Donald Trump menawan semula Rumah Putih.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.