TEL AVIV: Doktor tentera Israel menyatakan kesihatan empat tentera wanita yang dibebaskan adalah ‘sangat baik’ dan mengesahkan mereka tidak diberikan perangsang atau dadah ketika ditawan Hamas di Gaza.
Penilaian pihak kesihatan itu sekaligus menyangkal dakwaan rasmi Israel yang mengatakan kononnya Hamas memberi perangsang kepada tawanan dalam bentuk vitamin dan ubat penenang untuk membuatkan mereka kelihatan gembira sebelum dibebaskan.
Penyiar rasmi Israel, KAN melaporkan doktor tentera mendapati tentera wanita itu berada dalam keadaan ‘sihat dan stabil’ selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik dibebaskan.
Doktor turut memaklumkan mereka tidak diberikan perangsang atau dadah semasa dalam tawanan.
Sebaliknya, tentera rejim itu mengesahkan nyawa mereka terancam dan mengalami ‘ketakutan melampau’ akibat bedilan bertubi-tubi Israel sendiri berhampiran lokasi tahanan.
Kenyataan mereka selari dengan amaran awal pejuang Palestin yang menyatakan serangan udara Israel menyebabkan kematian puluhan tahanan dalam jagaan mereka dan hampir mengakibatkan kematian beberapa yang lain.
Menurut kenyataan, askar wanita itu turut menyatakan mereka kerap dipindahkan antara rumah dan terowong ketika dalam tahanan, di tengah serangan udara, bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Hamas menyerahkan empat askar wanita itu pada Sabtu di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan Israel.
Seramai 200 tahanan Palestin turut dibebaskan sebagai pertukaran dengan askar wanita itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.