comscore
Tumpuan :
Dunia

4 bekas Ahli Parlimen Bangladesh didakwa terlibat sindiket penghantaran pekerja ke Malaysia

Foto hiasan

PETALING JAYA: Agensi Antirasuah Bangladesh sedang menyiasat empat bekas Ahli Parlimen kerajaan negara itu yang didakwa mendalangi sindiket penipuan pekerjaan di negara ini dengan nilai anggaran 24,000 crore taka Bangladesh (RM8.9 bilion).

Dhaka Tribune memetik sumber sebagai berkata sindiket itu, melibatkan bekas Menteri Kewangan, Mustafa Kamal, bekas Ahli Parlimen, Nizam Uddin Hazari, Benazir Ahmed dan Jeneral Bersara Masud Uddin Chowdhurry.

Laporan itu mendedahkan, sindiket berkenaan telah menghantar 450,000 pekerja ke luar negara termasuk Malaysia dalam tempoh satu tahun.

Bagaimanapun, ramai dalam kalangan pekerja berkenaan tidak dapat mencari peluang pekerjaan dan pulang dengan tangan kosong.

Laporan itu juga mendakwa bahawa sindiket terbabit beroperasi dengan sokongan pegawai kanan dari kedua-dua kerajaan Bangladesh dan Malaysia.

Difahamkan, pekerja dicaj jauh melebihi kos yang ditetapkan kerajaan iaitu 79,000 taka Bangladesh (kira-kira RM2,940), dengan purata pekerja membayar 544,000 taka Bangladesh (kira-kira RM20,280) untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

Selain itu, laporan itu turut berkata sindiket berkenaan didakwa mengumpul 24,000 crore taka Bangladesh dengan mengenakan bayaran berlebihan kepada pekerja, manakala Kementerian Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh tidak mengambil sebarang tindakan, sebaliknya memudahkan aktiviti sindiket itu.

Malaysia menetapkan bilangan agensi dari Bangladesh untuk pengambilan pekerja kepada 25 pada 2022 apabila pasaran buruh dibuka semula selepas pandemik Covid-19.

Pada tahun 2023, diumumkan bahawa jumlah ini akan ditingkatkan kepada 100.

Menurut Dhaka Tribune, agensi terpilih itu dilaporkan dikaitkan dengan Mustafa Kamal, keluarganya, bekas Ahli Parlimen lain serta beberapa pemimpin dari parti politik Liga Awami.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini