ISLAMABAD: Empat anggota pasukan keselamatan Pakistan terbunuh susulan rusuhan oleh penunjuk perasaan yang menuntut bekas Perdana Menteri, Imran Khan, dibebaskan dari penjara.
Kejadian berlaku selepas peserta mengingkari arahan perintah berkurung, dengan berarak di jalan raya ibu negara Pakistan menyaksikan perusuh bersenjatakan kayu bertempur dengan polis.
Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi, berkata empat anggota pasukan separa tentera Rangers terbabit maut akibat serangan di lebuh raya yang menuju ke sektor kerajaan.
Perdana Menteri, Shehbaz Sharif pula memaklumkan anggota berkenaan dirempuh oleh sebuah kenderaan.
Shehbaz melalui satu kenyataan menyifatkan bantahan ini sebagai ekstremisme.
Perintah berkurung dikuatkuasakan di Islamabad sejak Sabtu lalu, dengan talian Internet diputuskan.
Lebih 20,000 polis ditempatkan di jalan raya.
Minggu lalu, pihak pentadbiran bandar Islamabad mengumumkan larangan selama dua bulan ke atas sebarang perhimpunan awam.
Bagaimanapun konvoi parti dibarisi Imran, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), melakukan perjalanan dari pangkalan kubu mereka di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan Punjab tanpa mempedulikan sekatan jalan raya dilakukan.
PTI telah menuntut pembebasan Imran, 72, yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Pakistan dari 2018 hingga 2022.
Parti itu juga membantah dakwaan terhadap pemimpin itu berkenaan campur tangan dalam pilihan raya pada Februari lalu, selain memprotes pindaan baru-baru ini terhadap Perlembagaan yang disokong kerajaan dan memberikan lebih banyak kuasa kepada mahkamah tatkala Imran berdepan puluhan kes pertuduhan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.