ISTANBUL: Lebih 4.2 juta penduduk bukan warga Kesatuan Eropah (EU) kini berada di bawah perlindungan sementara di negara-negara anggotanya, dengan kebanyakan mereka melarikan diri dari Ukraine, menurut data terkini yang dikeluarkan pada Khamis.
Menurut Eurostat, Jerman mencatat jumlah penerima perlindungan sementara tertinggi, iaitu 1.12 juta orang atau 27 peratus di EU, manakala Poland 975,190 orang dan Czechia dengan 376,885 orang.
Berbanding Julai, peningkatan penerima terbesar berlaku di Jerman, Czechia, dan Romania. Sementara itu, penurunan dilaporkan di Poland, Perancis, dan Luxembourg, lapor Agensi Anadolu.
Pada akhir Ogos, lebih 98.3 peratus mereka yang berada di bawah perlindungan sementara adalah warganegara Ukraine.
Sejak operasi ketenteraan Rusia bermula pada Februari 2022, konflik ini terus menyebabkan penghijrahan besar-besaran ke negara-negara jiran di Eropah.
— BERNAMA-ANADOLU