JAKARTA: 39 bencana termasuk banjir, tanah runtuh, ribut dan insiden melibatkan angin melanda Asia Tenggara minggu lepas, menurut Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).
Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia melaporkan insiden di 15 wilayah termasuk Aceh, Banten, Gorontalo, Yogyakarta, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan dan Sumatera Barat.
Di Sumatera Barat, hujan lebat dan air sungai yang melimpah mengakibatkan banjir dan tanah runtuh sejak 5 Mac lepas, menyebabkan tindakan respons kecemasan selama 14 hari di daerah pesisir selatan sehingga 21 Mac.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Daik dan Bencana Vietnam berkata ribut dan bencana melibatkan angin berlaku di wilayah tengah utara, terutamanya di Wilayah Yen Bai dan perkara ini dilaporkan Pusat AHA dalam kemas kini bencana mingguannya.
Tambahan pula, agensi vulkanologi dan geofizik Indonesia dan Filipina melaporkan enam gempa bumi yang ketara berukuran lebih daripada 5.0 magnitud dan lima contoh aktiviti gunung berapi.
Gunung Semeru dan Marapi di Indonesia pada paras III, memberikan isyarat amaran yang tinggi sementara Gunung Mayon, Kanlaon, Taal dan Bulusan di Filipina kesemuanya berada pada paras I, menunjukkan pergolakan paras rendah. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.