BANGKOK: Sekurang-kurangnya 34 orang termasuk kanak-kanak maut dalam serangan membabitkan seorang bekas pegawai polis bersenjatakan senapang patah dan pisau di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di timur laut Thailand, hari ini.
Penyerang terbabit kemudian dilapor membunuh diri, kata polis.
Katanya, penyerang terbabit melepaskan tembakan ke arah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lam Phu kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum melarikan diri dengan menaiki kenderaan.
Jurucakap pejabat perdana menteri Thailand, Anucha Burapachaisri, berkata angka kematian akibat insiden tembakan itu sekurang-kurangnya 34 orang.
Kolonel polis, Jakkapat Vijitraithaya, mengenal pasti lelaki bersenjata itu sebagai Panya Khamrab, seorang Leftenan Kolonel polis yang didakwa dipecat kerana menggunakan dadah, tahun lalu.
Jakkapat berkata, seramai 23 kanak-kanak yang maut itu berusia antara dua hingga tiga tahun.
Pembunuhan beramai-ramai itu berlaku kurang sebulan selepas seorang pegawai tentera yang sedang berkhidmat menembak mati dua rakan sekerja di pangkalan latihan tentera di Bangkok.
Kejadian tembakan besar-besaran jarang berlaku, walaupun Thailand mempunyai kadar pemilikan senjata yang tinggi.
Namun, menurut Bangkok Post, terdapat sekurang-kurangnya dua lagi kes tembakan membabitkan tentera yang masih dalam perkhidmatan, tahun lalu.
Pada 2020, seorang tentera dilapor menembak mati 29 orang dan mencederakan ramai mangsa dalam kejadian amuk 17 jam sebelum dia ditembak mati oleh komando dengan ia menjadi insiden paling mengerikan di Thailand sejak beberapa tahun lalu.
Tembakan beramai-ramai itu dikaitkan dengan pertikaian hutang antara lelaki bersenjata, Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma dan seorang pegawai kanan dengan pegawai kanan tentera bersusah payah untuk menggambarkan pembunuh itu sebagai tentera penyangak. – BERITA HARIAN