comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] 33 lagi trak bantuan memasuki Gaza – PBB

SEMENANJUNG GAZA: Lebih 30 trak membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, pada Ahad yang disifatkan konvoi terbesar sejak pintu sempadan Rafah dibuka hujung minggu lalu.

Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OCHA berkata, sejumlah 33 trak yang membawa air, makanan dan bekalan perubatan ke Gaza, melalui sempadan Rafah dan Mesir.

“Ini penghantaran bantuan kemanusiaan terbesar sejak 21 Oktober, dengan penghantaran terhad diteruskan,” katanya dalam kemas kini mengenai situasi di Gaza, awal hari ini.

Setakat ini, katanya sebanyak 117 trak memasuki Gaza sejak penghantaran terhad diteruskan ke wilayah Palestin yang didiami 2.4 juta orang.

OCHA mengalu-alukan penghantaran bantuan terbaharu itu namun tetap menekankan jumlah bantuan yang lebih besar diperlukan secara tetap.

“Kemasukan bahan api amat diperlukan untuk mengendalikan peralatan perubatan dan kemudahan air dan sanitasi,” katanya.

Sejumlah 70 daripada 117 trak yang dibenarkan masuk setakat ini,  membawa bekalan perubatan, manakala 60 lagi membawa masuk makanan.

Manakala, hanya 13 trak yang membawa bekalan air dan bahan sanitasi.

Israel ketika ini menyekat semua penghantaran bahan api atas alasan akan dieksploitasi oleh Hamas untuk membuat senjata dan bahan letupan.

Sebelum kepungan rejim Zionis, kira-kira 500 trak yang membawa bantuan dan barang lain dilapor memasuki Gaza setiap hari. – AGENSI

Loading...
Terkini