BEIRUT: Sekurang-kurangnya 30 orang terkorban dan 35 lagi cedera dalam serangan Israel di Wilayah Baalbek-Hermel, Lubnan pada Rabu, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) yang memetik gabenor wilayah itu, Bashir Khodr.
Menurut laporan tempatan, tujuh orang terbunuh apabila serangan udara melanda Bandar Al-Ein, berhampiran Baalbek di Lembah Bekaa.
Serangan turut menyasarkan Daerah Dahieh di Beirut, menyebabkan kerosakan besar kepada bangunan, infrastruktur, dan kemudahan awam, dengan kawasan seperti Haret Hreik, Jalan Lapangan Terbang, dan Kejiranan Amerika antara yang paling teruk terjejas.
Selain itu, serangan pesawat tempur dan bedilan artileri Israel turut mengenai beberapa bandar dan pekan di seluruh selatan Lubnan dan Lembah Bekaa, termasuk Baalbek, Nabatieh, dan Hermel, serta pekan-pekan kecil seperti Deir Seryan, Boudai, Ansar, dan Taria.
Wilayah lain di selatan dan timur Lubnan juga mengalami serangan, dengan bandar-bandar seperti Kafr Rumman, Shuqra, dan Bent Jbeil mengalami kerosakan besar ketika serangan udara terus berlanjutan di seluruh negara. — BERNAMA-WAFA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.