Tumpuan :
Dunia

30 dugong dikesan di Koh Muk, Thailand

BANGKOK: Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand mengesan kumpulan dugong terbesar sekitar Koh Muk di Laut Andaman.

Sekumpulan 30 ekor dugong itu telah dirakam ketika berenang di kawasan terbabit.

Video rakaman mamalia marin itu disiarkan pada 5 Jun di laman Facebook jabatan berkenaan

Pulau ini adalah sebahagian daripada Taman Negara Hat Chao Mai yang terletak di luar pantai barat wilayah Trang di selatan Thailand.

Jabatan itu juga mengesahkan bahawa pegawai taman telah meninjau jumlah mamalia marin, serta habitat mereka di sekitar Koh Muk dan Pantai Yong Lam, di mana dahulunya terdapat banyak rumput laut yang menjadi makanan mereka.

Pada Mac, jabatan itu melaporkan bahawa jumlah dugong di wilayah Trang berada di ambang kepupusan kerana bilangannya telah berkurangan secara ketara daripada 194 pada 2023 kepada hanya 36 pada 2024.

Ini mendorong Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Phatcharavat Wongsuwan, mengarahkan agensi berkaitan untuk mengambil langkah untuk mencegah kepupusan dugong dengan menangani puncanya.

Ini termasuk menghentikan pemusnahan rumput laut dan pembuangan sisa plastik ke laut, yang dimakan haiwan itu dan seterusnya mati.

Jabatan itu menambah bahawa ia menggunakan dron untuk memeriksa habitat dugong di taman negara dan mendapati kira-kira 30 daripada mereka tinggal di bahagian timur laut Koh Muk.

Jabatan itu berikrar untuk terus mengkaji kumpulan itu tanpa mengganggu mereka selain mencari jalan membantu memelihara dan meningkatkan jumlah dugong di perairan Trang. – Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini