KAZAKHSTAN: Tiga pelajar cedera dalam insiden serangan bersenjatakan kapak dan pisau di sebuah sekolah di Petropavlovsk, Kazakhstan, hari ini.
Menurut agensi berita rasmi Kazinform, suspek seorang pelajar yang berjaya ditahan sejurus kejadian itu, didakwa tiba-tiba keluar dari tandas sambil memegang senjata tajam terbabit.
Dua mangsa terbabit kini dirawat di hospital, manakala seorang lagi menerima rawatan di tempat kejadian.
Kesemua mangsa membabitkan dua pelajar lelaki dan seorang perempuan itu dilaporkan berada dalam keadaan sedar.
Pejabat pendakwa raya wilayah itu berkata, prosiding sudah dibuka membabitkan dakwaan cubaan membunuh, manakala suspek kini menjalani pemantauan psikiatri susulan serangan berkenaan. – AFP