
GAZA: Serangan Israel di Gaza mengorbankan tiga warga Palestin dan mencederakan beberapa yang lain di wilayah selatan Rafah, ketika pegawai Hamas mengadakan lawatan ke Kaherah bagi membincangkan masa depan perjanjian gencatan senjata, dan Israel mengesahkan akan menghantar delegasi ke Qatar.
Pada pagi Sabtu, drone Israel menyasarkan sekumpulan orang di timur Rafah, menyebabkan dua warga Palestin maut. Wartawan Al Jazeera yang berada di lokasi turut melaporkan bahawa seorang lagi terbunuh akibat tembakan Israel di at-Tannour, juga terletak di timur Rafah.
Sejak malam Jumaat, Rafah menjadi sasaran serangan hebat Israel dari kereta kebal dan drone, dengan tembakan meriam menghentam kawasan kediaman termasuk al-Jnaina, ash-Shawka, dan Tal as-Sultan, menurut laporan agensi berita Palestin Wafa.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 mengorbankan sekurang-kurangnya 48,453 warga Palestin dan mencederakan 111,860 yang lain. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.