HAWAII: Sekurang-kurangnya tiga maut, 20 lagi cedera akibat letupan bungan api di kawasan perumahan di Honolulu, Hawaii, menandakan permulaan yang tragis untuk tahun baru di pulau Oahu.
Dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Letupan itu berlaku tepat selepas tengah malam waktu tempatan (10:00 GMT) pada hari Rabu, ketika orang ramai meraikan ketibaan Hari Tahun Baru.
Letupan itu berlaku di sebuah rumah.
Jim Ireland, pengarah Jabatan Perkhidmatan Kecemasan Honolulu, berkata banyak kecederaan akibat melecur.
“Saya telah bekerja dalam Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) selama lebih 30 tahun, dan ini mungkin panggilan yang paling buruk yang pernah saya terima” kata Ireland.
Jabatan Ireland telah mengerahkan 10 ambulans ke lokasi kejadian.
Kereta bomba dari Pearl Harbor yang berdekatan turut dikerah ke lokasi.
Letupan itu berlaku tidak jauh dari pangkalan Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika Syarikat.
Dalam satu sidang media, Justin Brownfield, wakil dari Jabatan Bomba Honolulu, berkata agensinya juga menghantar lapan unit dan dua ketua batalion.
Beliau menggambarkan “sisa-sisa kerosakan yang besar” di lokasi kejadian.
“Unit pertama yang tiba di tempat kejadian berhadapan dengan puluhan mangsa, termasuk ramai yang berada dalam keadaan kritikal,” kata Ireland, menggambarkan kesan pertama beliau di lokasi.
Gabenor Hawaii Josh Green mengecam penggunaan bunga api yang tidak dibenarkan dalam kenyataan yang mengulas mengenai letupan tersebut.
“Kerana memerangi bunga api haram telah menjadi keutamaan, kami telah menubuhkan Pasukan Petugas Bunga Api Haram tahun lepas untuk mengenal pasti dan mengganggu rantaian bekalan,” kata Gabenor Green dalam kenyataan pada Rabu.
“Sehingga kini, kami telah merampas 227,000 paun (103,000kg) bunga api haram, tetapi insiden seperti ini mengingatkan kita tentang cabaran berterusan yang dihadapi.”
Datuk Bandar Honolulu, Rick Blangiardi, juga mengeluarkan siaran akhbar kepada media tempatan dengan berjanji untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang menggunakan bunga api secara haram. – AL JAZEERA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.