Tumpuan :
Dunia

[TERKINI] 179 terkorban pesawat terhempas di Korea Selatan

Bomba melakukan kerja penyelamatan dan memadam kebakaran susulan pesawat terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Muan.- Foto: Reuters

SEOUL: Sebuah pesawat penumpang membawa 181 penumpang terbakar selepas terbabas dari landasan dan melanggar dinding di lapangan terbang di daerah Muan, barat daya Korea Selatan pada Ahad, dipercayai menyebabkan semua kecuali dua mangsa terkorban.

Agensi Berita Yonhap, yang memetik pihak berkuasa, melaporkan dua mangsa terselamat dan 179 mangsa sudah disahkan maut manakala bakinya yang sebelum ini dilaporkan cedera parah, dianggap sudah meninggal dunia.

Kecuali dua yang diselamatkan dari nahas itu, semua mangsa yang masih hilang dipercayai telah meninggal dunia, kata pihak bomba, sambil menambah bahawa operasi kini beralih kepada usaha mencari mayat.

Dua orang ditemui selamat ketika misi menyelamat dilakukan.

Seorang penumpang dan seorang kru – kedua-duanya wanita – diselamatkan sejurus selepas kejadian dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Mokpo.

Pesawat tersebut membawa seramai 181 orang, termasuk enam kru, dalam penerbangan pulang dari Bangkok. Semua penumpang adalah warganegara Korea Selatan kecuali dua warga Thailand.

Rakaman video yang disiarkan oleh stesen TV tempatan menunjukkan pesawat tersebut cuba mendarat tanpa gear pendaratan dikeluarkan. Pesawat itu meluncur di atas tanah, merempuh dinding konkrit sebelum meletup dan terbakar sepenuhnya.

Pesawat tersebut hampir musnah sepenuhnya akibat letupan tersebut.

Pihak berkuasa Wilayah Jeolla Selatan menaikkan amaran kecemasan ke tahap tertinggi dan mengerahkan semua anggota penyelamat serta pihak polis yang ada ke lokasi kejadian.

Pegawai percaya kegagalan gear pendaratan, mungkin disebabkan oleh perlanggaran dengan burung, menjadi punca nahas tersebut. Siasatan di lokasi telah dimulakan untuk menentukan punca sebenar kejadian.

Pemangku Presiden Choi Sang-mok tiba di lokasi nahas sekitar tengah hari dan mengarahkan pegawai untuk melakukan usaha pencarian sepenuhnya.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan berjanji untuk menyediakan bantuan kerajaan yang diperlukan.

Pejabat presiden memaklumkan, satu mesyuarat kecemasan bersama pegawai kanan kerajaan akan diadakan pada jam 11.30 pagi bagi membincangkan tindak balas kerajaan terhadap nahas tersebut, dipengerusikan oleh Ketua Staf Presiden, Chung Jin-suk.

Pemangku Pesuruhjaya Agung Agensi Polis Kebangsaan, Lee Ho-young, turut mengarahkan pegawai untuk menggerakkan semua sumber yang ada dan bekerjasama dengan pihak bomba serta agensi berkaitan bagi membantu usaha penyelamatan. – BERNAMA-YONHAP

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini