comscore
Tumpuan :
Dunia

27 PATI maut selepas bot karam di Tunisia

Foto hiasan. – FOTO: REUTERS

TUNIS: Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada sub-Sahara, Afrika untuk menyeludup masuk ke Eropah gagal apabila sekurang-kurangnya 27 daripada mereka maut selepas dua bot mereka karam di pantai Tunisia semalam.

Menurut pihak berkuasa, dalam kejadian terbabit, 53 lagi PATI yang menggunakan bot usang berjaya diselamatkan.

Kes terbaru sejak beberapa minggu lalu itu berlaku selepas pegawai Tunisia melaporkan peningkatan lima kali ganda operasi menyelamat berbanding suku pertama tahun lalu.

Berdasarkan kes pertama, jurucakap mahkamah di bandar Sfax, Faouzi Masmoudi, memberitahu AFP bahawa empat orang maut, tiga hilang dan lebih 30 lagi diselamatkan dalam tragedi bot karam terbaru di luar pantai negara itu semalam.

“Berlaku tragedi bot karam, di mana empat mayat ditemui di pantai Sfax dan tiga orang lagi hilang manakala 36 lagi berjaya diselamatkan,” katanya.

Tambah beliau, kes kedua pula berlaku selepas sebuah lagi bot karam menyebabkan 37 orang di dalamnya mati lemas Jumaat lalu manakala 20 lagi tidak dapat dikesan.

Memetik kenyataan saksi, beliau berkata 17 orang berjaya diselamatkan daripada kejadian Jumaat lalu itu dan siasatan sedang dijalankan terhadap kedua-dua tragedi itu.

“Kita mahu mengenal pasti dalang di sebalik cubaan menyeludup ini menggunakan bot yang hanya diperbuat daripada kepingan logam tanpa ciri keselamatan minimum, berbanding bot kayu,” katanya.

Kejadian sama turut berlaku di Maghribi, di mana 11 PATI dilaporkan lemas selepas bot mereka karam di pantai barat.

Berdasarkan laporan media, mereka yang maut ialah lapan warga Maghribi dan tiga warga sub-Sahara yang cuba sampai ke Kepulauan Canary, di Sepanyol, bagaimanapun seorang pendatang berjaya diselamatkan.

Namun, sehingga kini tiada laporan pengesahan daripada pihak berkuasa Maghribi berhubung kejadian itu.

Pantai Tunisia, yang hanya kira-kira 150 kilometer (km) dari pulau Lampedusa Itali, kini menjadi pilihan bagi cubaan menyeludup masuk PATI, antaranya membabitkan warga Afrika Barat dan Sudan, yang mencari kehidupan lebih baik di Eropah.

Berdasarkan carian AFP, kes semalam itu adalah yang ketujuh berlaku sejak Mac, menyebabkan kira-kira 100 orang maut atau hilang.

Menurut pengawal pantai Tunisia sebelum ini, sejak Januari hingga Mac lalu, kira-kira

14,000 PATI berjaya dihalang ketika cuba memasuki Eropah.

Data rasmi menunjukkan bahawa jumlah itu adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding suku pertama tahun ini.

“Rondaan pengawal pantai berjaya menghalang sebanyak 501 percubaan rahsia untuk menyeberangi sempadan laut sebelum menyelamatkan 14,406 PATI termasuk 13,138 dari negara Afrika sub-Sahara, antara 1 Januari hingga 31 Mac lalu,” katanya.

Rakyat Tunisia juga dikesan dalam kalangan PATI yang cuba memasuki Itali melalui laluan pantainya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menggesa sokongan yang lebih kuat untuk negara Afrika Utara itu untuk mengekang penghijrahan PATI.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell, memberi amaran bahawa kemelesetan Tunisia dari segi ekonomi atau sosial boleh mencetuskan gelombang baharu pendatang ke Eropah, namun pendapat itu dinafikan negara berkenaan. – AFP

Loading...
Terkini