Tumpuan :
Dunia

27 kampung di Kalimantan Barat terjejas banjir dan tanah runtuh

INDONESIA: Sebanyak 27 kampung di lapan daerah di wilayah Sambas, Kalimantan Barat terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh.

Angka itu dikeluarkan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Sambas, Kalimantan Barat

“Keadaan banjir sudah berlaku sejak November 2024 dan sempat surut. Namun, paras air naik kembali pada Disember 2024 dan berlanjutan hingga kini pada tahun 2025. Secara keseluruhan, ada 27 kampung yang terjejas banjir dan tanah runtuh,” ujar Ketua Bidang Kedaruratan dan Logistik BPBD ilayah Sambas, Nisa Azwarita

Beliau menjelaskan bahawa bencana banjir yang berlaku kini adalah yang terburuk di Paloh dan Galing dengan paras air mencapai 100cm di jalan raya. “Paras air yang masuk ke rumah penduduk pula mencapai 40cm,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bencana banjir terbaru berlaku pada 18 dan 19 Januari 2025 di beberapa daerah seperti Galing yang menjejaskan 1,615 rumah atau 3,015 kepala keluarga (KK).

Kemudian di Tanggaran, sebanyak 281 rumah terjejas dengan paras air antara 40cm hingga 80cm. Di Jawai Selatan, sebanyak 106 rumah terjejas dengan paras air antara 40cm hingga 80cm. Untuk Paloh dan Sajingan, kesan banjir masih dalam proses pendataan.

“Bencana puting beliung juga berlaku pada 11 Januari 2025 di Desa Gugah Sejahtera, Kecamatan Pemangkat,” tambahnya.

Berhubung dengan situasi yang berlaku, Pihak Berkuasa Sambas telah menaikkan status bencana dari status siaga kepada status darurat bencana yang dilanjutkan dari 13 hingga 27 Januari 2025.

“Kami terus melakukan pemantauan, penilaian dan berkoordinasi dengan pihak-pihak berkaitan, baik di peringkat pemerintah daerah, wilayah hingga ke pusat melalui BNPB. Pihak kerajaan daerah juga telah memberikan bantuan logistik. Bantuan baru diberikan kepada dua wilayah setakat ini,” katanya. – ANTARANEWS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini