BATANGAS: Sejumlah 26 orang maut dan 150,000 yang lain terpaksa dipindahkan akitbat ribut tropik yang melanda wilayah Batangas sejak Rabu.
Ribut tropika Kristine, yang juga dikenali sebagai Trami, melanda Filipina awal minggu ini hingga menyebabkan banjir serta tanah runtuh.
Media tempatan melaporkan, taufan itu pada awalnya melanda bandar Divilacan di wilayah Isabela, mengakibatkan beberapa kawasan, termasuk sekolah dan perniagaan dibadai ribut.
Ia turut melanda pulau utama Luzon di bahagian timur laut negara tersebut.
Menurut perkhidmatan cuaca negara, pusat ribut tersebut berada di kawasan Ilocos pada jam 2 petang, Khamis dengan kelajuan angin maksimum mencecah 95 kilometer sejam.
Kebanyakan kematian berlaku di wilayah tengah Bicol, yang terletak di tenggara ibu negara Manila, termasuk bandar Naga.
Sementara itu, Pasukan Pengawal Pantai Filipina dan pihak tentera telah dikerah untuk membantu usaha menyelamat di kawasan terjejas. Difahamkan, lebih 1,500 anggota polis juga telah dihantar untuk kerja-kerja pencegahan bencana.
Sebagai rekod, Filipina antara negara di rantau Asia Tenggara yang kerap dilanda ribut tropik dengan kadar 20 ribut tropika setiap tahun, yang membawa kepada hujan lebat, banjir, angin kencang, dan tanah runtuh yang meragut nyawa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.