Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] 25 peratus bandar di Libya musnah, beribu-ribu maut

 

DERNA: Beribu-ribu mangsa terbunuh dan sekurang-kurangnya 10,000 orang hilang di Libya dalam banjir akibat ribut Daniel yang merentasi Mediterranean hingga memusnahkan satu perempat daripada pantai timur bandar Derna.

Seorang pegawai perubatan kanan di Derna berkata, lebih 2,000 orang maut, manakala Menteri Dalam Negeri pentadbiran Libya timur, yang dipetik oleh televisyen tempatan menganggarkan jumlah korban melebihi 5,000 mangsa.

Antara bangunan yang musnah teruk di di Derna, Libya selepas dilanda ribut dan hujan lebat. – FOTO: REUTERS

Di Derna, sebuah bandar dengan sekitar 125,000 penduduk, wartawan Reuters melaporkan beberapa perkampungan musnah sama sekali dengan bangunan ranap dan kereta terbalik, malah ada yang tersangkut di bumbung rumah.

Jalanan pula dipenuhi lumpur tebal, dibawa selepas empangan di Derna yang pecah akibat dilanda Ribut Daniel.

Sementara itu, Pengarah Hospital Wahda, Mohamad al-Qabisi, berkata 1,700 orang maut di satu daripada dua daerah di bandar itu dan 500 lagi di daerah lain.

Imej satelit menunjukkan keadaan di Derna, Libya selepas dilanda ribut dan hujan lebat. – FOTO: REUTERS

Sementara itu, Menteri Penerbangan Awam dalam pentadbiran yang mengawal timur, Hichem Abu Chkiouat, berkata mayat bergelimpangan di merata tempat termasuk di laut, lembah dan bawah bangunan.

“Tidak keterlaluan apabila saya mengatakan bahawa 25 peratus bandar ini hilang. Banyak bangunan runtuh,” katanya.

Menurut ketua delegasi Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, Tamer Ramadan, jumlah kematian dikhuatiri akan meningkat.

“Kami boleh mengesahkan daripada sumber maklumat bebas bahawa jumlah orang yang hilang mencecah 10,000 mangsa setakat ini,” katanya kepada pemberita menerusi pautan video.

Orang ramai berjalan meredah sampah sarap dan sisa bangunan di Derna, Libya selepas dilanda ribut dan hujan lebat. – FOTO: REUTERS

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan berkata, pasukan tindak balas kecemasan sudah digerakkan untuk membantu di lapangan.

Ketika Turki dan negara-negara lain menyegerakan bantuan ke Libya, termasuk kenderaan mencari dan menyelamat, bot penyelamat, mesin penjana kuasa dan makanan, warga Derna pula berusaha mencari orang tersayang.

Derna terpisah akibat aliran sungai bermusim yang datang dari tanah tinggi menuju ke selatan, dan lazimnya terlindung daripada banjir kerana adanya empangan.

Paparan video di media sosial menunjukkan saki baki empangan yang pecah kira-kira 11.5 kilometer (km) di hilir sungai di mana dua lembah bertemu, yang kini ditenggelami air berlumpur. – REUTERS

Loading...
Terkini