comscore
Tumpuan :
Dunia

241,000 jemaah Indonesia sedang bersiap sedia tunai haji

FOTO: Reuters

JAKARTA: Seramai 241,000 jemaah haji Indonesia sedang bersiap sedia ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji.

Mereka terdiri daripada 213,320 jemaah haji biasa dan 27,680 jemaah haji khusus yang akan memasuki 14 asrama di seluruh Indonesia pada 11 Mei sebagai persiapan sebelum berlepas ke Arab Saudi.

Pengarah Perkhidmatan Haji Dalam Negeri Kementerian Hal Ehwal Agama, Saiful Mujab berkata asrama itu terletak di Aceh, Medan, Batam, Padang, Palembang, Jakarta, Jakarta Saudia, Kertajati, Solo, Surabaya, Lombok, Balikpapan, Banjarmasin dan Makassar.

Jemaah haji biasa yang diuruskan secara langsung oleh kementerian, dijadualkan berlepas mulai 12 Mei manakala jemaah haji khusus yang diuruskan di bawah pengurusan swasta atau agensi pelancongan, akan bertolak pada 23 Mei.

“Kumpulan pertama berlepas bermula dari 12 hingga 23 Mei manakala kumpulan kedua dari 24 Mei hingga 10 Jun,” kata Saiful dalam satu kenyataan pada Isnin.

Indonesia, negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di dunia merekodkan jumlah jemaah haji tertinggi sepanjang tahun ini berbanding 229,000 pada tahun lepas. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini