comscore
Tumpuan :
Dunia

24 askar Israel maut dalam serangan di Gaza

Beberapa anggota tentera Israel sedang membersihkan meriam berhampiran sempadan Gaza semalam berikutan konflik yang masih berterusan di antara Israel dan kumpulan Hamas. FOTO: Reuters

GAZA: Seramai 24 askar Israel maut dalam serangan paling sengit di selatan Gaza hari ini dan turut dilaporkan media antarabangsa.

Jurucakap rejim Zionis, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata seramai 21 askar maut akibat letupan grenad yang dilemparkan ke kereta kebal.

Selain itu katanya, sepasukan askar Israel turut ditimpa runtuhan dua bangunan yang diletupkan askar Israel dengan kedua-dua kejadian terbabit berlaku pada masa sama.

Terdahulu, tentera Israel mengesahkan tiga anggotanya turut maut dalam serangan berasingan di selatan Gaza.

Kepulan asap naik ke udara di Semenanjung Gaza yang dirakam dari kawasan yang diduduki Israel pada 21 Januari lalu. FOTO: Reuters

Kejadian berlaku selang sehari selepas tentera Israel membuat serangan udara, laut dan darat di barat Khan Younis di Gaza dan turut membabitkan serbuan ke sebuah hospital serta tangkapan kakitangan perubatan.

Sekurang-kurangnya 50 orang rakyat Palestin maut dalam serangan itu.

Berdasarkan maklumat dikongsikan pihak berkuasa kesihatan Gaza semalam, sekurang-kurangnya 25,295 Palestin dibunuh sejak 7 Oktober lalu apabila rejim Zionis melancarkan serangan ke atas bumi Palestin khususnya di Gaza atas dakwaan kononnya sebagai membalas serangan kumpulan Hamas ke atas kawasan yang didudukinya.

Lapor Pejabat Media Kerajaan Gaza pula seramai 11,000 kanak-kanak dan 7,500 wanita dibunuh rejim Zionis di Semenanjung Gaza dalam tempoh 108 hari yang lalu.

Katanya di wilayah terkepung itu, seramai 7,000 orang dengan 70 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak masih tertimbus di bawah runtuhan atau hilang dalam serangan Israel.

Pejabat itu berkata Israel menggunakan lebih 65,000 tan bahan letupan di wilayah itu sejak 7 Oktober lepas.

Loading...
Terkini