DAKAR: Seramai 21 orang terbunuh dalam keganasan berkaitan pengesahan rasmi keputusan pilihan raya yang menjadi pertikaian di Mozambique, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam tempoh 24 jam sejak keputusan diumumkan, sebanyak 236 jenayah serius direkodkan, kata Menteri Dalam Negeri Pascoal Ronda pada sidang media di ibu negara, Maputo seperti dilaporkan penyiar awam Radio Moçambique pada Selasa.
Pihak berkuasa pilihan raya sehari sebelumnya mengesahkan pemilihan semula parti Mozambique Liberation Front (FRELIMO), yang telah berkuasa selama 49 tahun, dalam pilihan raya presiden pada 9 Oktober lalu.
Pembangkang menuduh berlaku penipuan pilihan raya dan mempertikaikan keputusan itu.
Pemerhati pilihan raya Kesatuan Eropah juga menyebut tentang perubahan tidak wajar pada keputusan pilihan raya.
Suruhanjaya kemudian menerbitkan keputusan yang diperbetulkan selepas semakan, dengan menyatakan calon FRELIMO, Daniel Chapo, memperoleh 65.2 peratus undi.
Menurut Menteri Dalam Negeri, 25 orang cedera sejak pengumuman itu, termasuk 13 orang awam dan 12 anggota polis. Namun, angka sebenar berkemungkinan jauh lebih tinggi.
Hospital Pusat Maputo melaporkan 40 orang cedera akibat tembakan sejak hari sebelumnya, menurut pengarah hospital itu, lapor agensi berita Mozambique AIM.
Rusuhan dan pertempuran juga berlaku di bandar-bandar lain di seluruh negara yang mempunyai kira-kira 35 juta penduduk. – BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.