comscore
Tumpuan :
Dunia

2024 dijangka catat rekod tahun paling panas dalam sejarah

FOTO: Reuters

FLORIDA: Kajian Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S) Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis mendedahkan Tahun 2024 dijangka menjadi tahun paling panas dalam sejarah dunia, sekaligus memecah rekod paras suhu normal.

Sejak Januari hingga Oktober, suhu purata global merekodkan suhu tinggi, menjadikan 2024 menghampiri gelaran tahun terpanas.

Pengarah C3S, Carlo Buontempo menyatakan suhu global pada tahun ini berkemungkinan melepasi paras 1.5 celcius buat kali pertama sejak zaman pra-industri (1850-1900).

“2024 akan mencatat rekod baru, dan hampir pasti suhu akan melebihi ambang 1.5 celcius,” kata Buontempo.

Beliau turut menambah bahawa tpada tahun 2023, suhu berjaya dikekalkan di bawah itu dengan margin kecil iaitu 1.48 celcius.

Namun, dapatan kajian dan unjuran tahun ini mendapati ia telah melepasi had normal tersebut sepanjang tahun.

“Untuk kekal di bawah 1.5 celcius, kita memerlukan dua bulan terakhir dengan hampir tiada anomali suhu, yang dianggap mustahil,” jelas Buontempo.

Buontempo menjelaskan bahawa pemanasan global menyebabkan suhu semakin meningkat di semua benua dan lautan.

“Punca asas kepada rekod tahun ini ialah perubahan iklim, pemanasan buatan manusia ke atas sistem iklim,” katanya.

Tambah beliau, setiap tahun kemungkinan suhu akan melepasi paras 1.5 celcius semakin tinggi dan dijangka akan kekal melebihi paras tersebut menjelang lima hingga 10 tahun akan datang.

C3S menjangkakan dunia bakal melepasi sasaran yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris sekitar 2030, di mana negara-negara menyasarkan untuk tidak melebihi paras suhu normal bagi mengelakkan impak teruk akibat pemanasan global.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini