NIGERIA: Sekurang-kurangnya 20 tentera Nigeria dilaporkan terbunuh dalam serangan yang disyaki dilakukan oleh pejuang dari kumpulan yang rangkaian dengan DAESH, iaitu West Africa Province (ISWAP).
Penyerang menyasarkan sebuah pangkalan tentera di bandar terpencil Malam-Fatori di negeri Borno, timur laut negara itu pada hari Jumaat, dengan seorang askar yang terselamat mendakwa serangan tersebut berlangsung selama lebih daripada tiga jam.
Pejuang Boko Haram dan ISWAP kebanyakannya beroperasi di Borno dan telah menyerang pasukan keselamatan serta orang awam, mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal.
Agensi berita Reuters, yang memetik sumber keselamatan dan penduduk pada hari Ahad, melaporkan bahawa seorang pegawai pemerintah adalah antara yang terbunuh selepas anggota ISWAP tiba dengan trak bersenjata dan menyerang Batalion Ke-149 Tentera Nigeria di Malam-Fatori, pintu masuk ke sempadan dengan Niger.
“Mereka melepaskan peluru ke merata tempat,” kata salah seorang tentera yang terselamat kepada Reuters melalui telefon, sambil menambah bahawa pasukan tentera itu tidak bersedia menghadapi serangan tersebut.
“Kami telah cuba sedaya upaya untuk mempertahankan diri, tetapi selepas lebih tiga jam pertempuran senjata, mereka mengalahkan kami, membunuh pegawai pemerintah kami, seorang leftenan kolonel,” kata askar itu, yang enggan dinamakan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media. – AL JAZEERA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.