Tumpuan :
Dunia

20 maut, Israel lancar serangan udara di selatan Beirut

Kepulan asap memenuhi ruang udara Beirut selepas tentera Israel menggempur pinggir bandar selatan itu semalam. – Tangkap layar video Reuters

BEIRUT: Hampir 20 terbunuh selepas tentera Israel menggempur pinggir bandar selatan Beirut melalui udara semalam.

Ia merupakan satu daripada serangan pada siang hari paling teruk melanda kawasan tengah negara itu yang dikuasai Hizbullah.

Kepulan asap memenuhi ruang udara Beirut ketika kira-kira 12 serangan melanda pinggir bandar selatan bermula tengah hari.

Selepas membuat hantaran amaran ditujukan kepada orang awam di media sosial, tentera Israel berkata, pihaknya menyerang sasaran Hizbullah di kawasan Dahiyeh Beirut dan kemudian turut memberitahu, membongkar sebahagian besar kemudahan senjata serta peluru berpandu kumpulan itu.

Israel berkata, ia sudah mengambil langkah mengurangkan risiko bahaya membabitkan orang awam dan mengulangi tuduhan bahawa Hizbullah sengaja meletakkan pasukannya di tempat awam serta menggunakan penduduk sebagai benteng.

Namun, tuduhan itu dinafikan Hizbullah.

Menurut polis Israel, di bahagian utara Israel, dua individu terbunuh di bandar Nahariya susulan sebuah bangunan kediaman diserang.

Hizbullah kemudian mengaku bertanggungjawab atas serangan dron yang dikatakan ditujukan ke pangkalan tentera di timur Nahariya.

Menurut tentera, rakyat Israel terpaksa berlindung daripada serangan dron di seluruh utara.

Menurut pekerja penyelamat, satu daripada dron jatuh di halaman sebuah tadika di pinggir bandar Haifa, yang mana kanak-kanak itu dikejarkan ke tempat perlindungan.

Namun, tiada individu dilaporkan cedera susulan insiden terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini