ASIR: 20 penumpang terkorban selepas bas yang dinaiki melanggar jambatan lalu terbakar di Asir, Arab Saudi.
Menurut agensi media Al-Ekhbariya, insiden turut mencederakan 29 yang lain ketika bas terbabit dalam perjalanan dari Khamis Mushiat ke Abha, 627 kilometer di tenggara Makkah.
Sementara itu, menurut laporan akhbar tempatan pula, punca nahas disebabkan masalah brek pada bas berkenaan.
Setakat ini, identiti kesemua mangsa tidak didedahkan namun pihak berkuasa hanya memaklumkan kewarganegaraan mangsa adalah berbeza.
Dalam pada itu, Jabatan Pertahanan Awam Saudi dan pasukan palang merah segera ke lokasi nahas dan menutup kesemua laluan di kawasan terbabit buat sementara waktu. – AFP