
GOLOK: Beberapa penyerang melepaskan tembakan dan meletakkan bahan letupan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok malam tadi.
Insiden mengakibatkan dua sukarelawan polis maut dan lapan cedera.
Tembakan dan letupan berlaku sekitar jam 7.10 malam (8.20 malam waktu Malaysia), kira-kira sejam selepas umat Islam di wilayah itu berbuka puasa.
BH yang memetik jurucakap polis Sungai Golok melaporkan, kejadian itu berlaku di sepanjang jalan Sungai Golok-Sungai Padi berhampiran Big C iaitu sebuah pusat membeli-belah popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Penyerang pada mulanya melepaskan tembakan sebelum meletupkan bahan letupan di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok.
“Akibatnya, dua sukarelawan polis maut dan lapan lagi cedera. Semua mereka dikejarkan ke Hospital Sungai Golok untuk rawatan,” kata jurucakap itu.
Susulan serangan itu, pihak berkuasa keselamatan kini giat menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, selain menasihatkan penduduk agar mengelak daripada melalui kawasan berkenaan.
Difahamkan, sejak awal Ramadan, pihak berkuasa di Sungai Golok yang bersempadan dengan Kelantan telah memperketat kawalan keselamatan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Daerah Sungai Golok, Dusit Kongsuk, dalam satu hantaran di Facebook rasmi Pejabat Daerah berkata, kawalan keselamatan akan diubah suai daripada sekatan jalan raya tetap kepada pos kawalan keselamatan bagi memudahkan pergerakan penduduk, terutama untuk aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan.
Beliau turut memaklumkan kawalan keselamatan akan diperketat susulan laporan risikan yang mendapati kawasan perbandaran Sungai Golok masih menjadi sasaran kumpulan tertentu yang cuba mencetuskan kekacauan.
Bagi menangani ancaman itu, Dusit berkata, pihaknya akan meningkatkan jumlah pos kawalan keselamatan yang beroperasi 24 jam sehari.
“Inisiatif ini akan membabitkan kerjasama antara tiga pasukan keselamatan dan komuniti setempat bagi menghalang sebarang ancaman sepanjang Ramadan.
“Di kawasan luar bandar, pos kawalan akan didirikan pada waktu malam dengan pemabitan pemimpin tempatan serta anggota keselamatan daripada ketiga-tiga pasukan,” katanya.
Dusit berkata, langkah itu bertujuan memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penduduk di kawasan terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.