UKRAINE: Rusia melancarkan serangan dron pada hari pertama Tahun Baharu ke atas ibu kota Ukraine, Kyiv, sehingga mengorbankan dua nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya enam yang lain.
Letupan kedengaran awal pagi ketika tentera udara Ukraine memberi amaran mengenai dron yang sedang menghampiri kawasan itu.
Sebuah pangsapuri di Kyiv rosak teruk akibat serangan itu, menurut Perkhidmatan Kecemasan Negara.
Gambar yang dimuat naik oleh agensi itu menunjukkan anggota bomba memadamkan sebahagian bangunan yang terbakar dan anggota penyelamat membantu mangsa warga emas.
Bank Negara Ukraine dalam kenyataannya mendedahkan satu bangunan miliknya rosak akibat serpihan dari dron yang jatuh.
Serpihan juga merosakkan sebuah bangunan di kawasan kejiranan yang lain, kata pihak berkuasa.
Tentera Kyiv mendedahkan, mereka telah menembak 63 daripada 111 dron yang dilancarkan Rusia sepanjang malam di pelbagai kawasan di Ukraine.
46 lagi telah dijatuhkan melalui gangguan elektronik, tambah mereka.
Rusia melakukan serangan udara yang kerap ke atas bandar-bandar Ukraine yang jauh dari sempadan dalam pencerobohan hampir tiga tahun mereka, di mana tentera mereka menawan satu demi satu kawasan dalam kemaraan yang agak perlahan di seluruh timur Ukraine.
Pada hari Selasa, tentera Rusia melancarkan 21 peluru berpandu ke Kyiv dan wilayah utara Sumy, merosakkan bangunan dan infrastruktur di bandar Shostka. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.